Semua pihak wajar sokong garis panduan jualan arak DBKL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menyatakan sokongan penuh terhadap peguatkuasaan garis panduan dan syarat perlesenan minuman keras baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjayanya, Azhar Yahya, langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan suatu tindakan proaktif dalam mengekang pelbagai implikasi negatif disebabkan oleh minuman keras tersebut.

“BPPWP berpandangan tindakan mengenakan beberapa garis panduan serta syarat terhadap perlesenan dan penjualan minuman keras tidaklah membebankan pengguna bukan Islam.

“Bahkan, ia adalah langkah kepada situasi menang-menang bagi semua pihak dalam mengawal selia penggunaan minuman keras khusus di WPKL,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Azhar, beberapa negara luar mengambil tindakan lebih keras terhadap penggunaan mimuman beralkohol.

Katanya, Jepun juga melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap minuman keras termasuk pemandu mabuk, manakala Singapura mengisytiharkan Geylang dan Little India sebagai zon kawalan arak.

Justeru itu kata Azhar, sepatutnya tidak timbul keresahan yang dibangkitkan sesetengah pihak kononnya perkara tersebut membebankan pengguna bukan Islam.

“Sewajarnya semua mengambil perhatian terhadap peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemandu mabuk yang semakin ketara.

“Justeru, pindaan meningkatkan hukuman terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun lalu masih belum cukup untuk mengawal aktiviti pengunaan minuman keras dalam negara,” katanya lagi.

Oleh itu kata Azhar, tindakan proaktif DBKL dalam isu berkenaan perlu mendapat sokongan semua pihak.

Selain itu menurutnya, BPPWP juga melihat pelaksanaan itu sebagai suatu perkembangan positif ke arah menjadikan WPKL sebuah bandar yang makmur dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 3/11/2021

- Advertisement -