
Oleh RIZAL TAHIR
BACHOK: Mahasiswa yang terbabit dengan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Darat (PALAPES) dididik untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dalam masa singkat walaupun dikelilingi banyak tekanan.
Di samping itu akan membantu pelajar setelah tamat pengajian bagi menyertai alam pekerjaan nanti.
Mengambil kira kepentingan itu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mewujudkan PALAPES Darat UMK yang diluluskan penubuhannya oleh Majlis Angkatan Tentera pada 20 Ogos 2020 dan mulai beroperasi 3 Mei lepas.
Timbalan Komandan PALAPES DARAT UMK, Mejar Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, penubuhan pasukan itu sebagai usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa UMK.
Katanya penubuhan pasukan terbabit bertujuan untuk menyediakan bakal pemimpin pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada kalangan graduan universiti.
Kata beliau PALAPES Darat di universiti awam (UA) terdiri daripada intelek dilihat sejajar inspirasi kerajaan dalam usaha membentuk warganegara cemerlang, mantap fizikal dan mental dalam menghadapi pelbagai anasir yang mendatang.
“Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES Darat) ditubuh bertujuan bagi melahirkan pegawai simpanan dalam kalangan mahasiswa yang diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Kadet dengan memenuhi segala kriteria yang ditetapkan.
“Program ini juga menyokong usaha kerajaan dan UA membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna, mempunyai jati diri, berdisiplin, membentuk nilai kepimpinan pelajar dan dilengkapi ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara.
“PALAPES Darat merupakan salah satu cabang perkhidmatan dalam cabang perkhidmatan ATM iaitu Laut, Darat dan Udara,” katanya di sini.
Beliau yang juga pensyarah kanan Pusat penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK berkata, konsep benteng pertahanan negara perlu dilihat pada barisan keduanya iaitu kekuatan anak watan bersedia menjadi anggota sukarela tentera.
Menurutnya dalam aspek teori ketenteraan, pertahanan negara tidak boleh bergantung kepada barisan hadapan semata-mata.
“Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh tiga tahun di UA mengikut silibus ketenteraan khususnya dalam aspek taktikal, persenjataan, kepimpinan, rejimental dan paling utama taat setia yang ditumpahkan kepada agama, bangsa dan negara.
“Jadual latihan PALAPES Darat dijalankan pada hujung minggu iaitu latihan tempatan, latihan berterusan, latihan khemah tahunan dan latihan pentauliahan,” katanya.
Beliau berkata, setiap pasukan PALAPES Darat mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing.
Katanya juga kokurikulum PALAPES amat mencabar memerlukan kesabaran, komitmen, kewibawaan serta kemampuan pegawai kadet.
“Aktiviti yang dijalankan mampu mendidik mahasiswa menjadi seorang yang lebih berani, berjiwa kental kerana latihan dilakukan menguji keupayaan dari segi mental mahupun fizikal,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2021











