Bajet 2022: Peruntukan untuk Sabah wajar ditingkat

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
PAS Sabah menyambut baik Bajet 2022 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada minggu lalu namun peruntukan untuk negeri Sabah perlu ditingkatkan.

Hal ini kerana Sabah jauh ketinggalan dari sudut infrastruktur berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid.

Menurutnya, PAS mengucapkan ribuan terima kasih dengan peruntukan yang mencecah RM5.2 bilion sekali gus menjadikan ia antara jumlah yang besar berbanding dengan peruntukan tahun sebelumnya.

- Advertisement -

“Sungguhpun demikian peruntukan untuk negeri Sabah sebaiknya ditambah oleh kerana keperluan lebih banyak di negeri ini untuk pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, faktor keselamatan juga memainkan peranan penting dalam keperluan meningkatkan bajet bagi negeri Sabah.

“Ianya disebabkan negeri ini dikelilingi oleh negara-negara jiran dan dibimbangi berlakunya pencerobohan dan gerakan lanun sepanjang perairan yang boleh mengancam keselamatan negeri,”

“PAS Sabah juga yakin bajet ini akan diurus dengan berhemah dan efisyen oleh kerajaan GRS dan mengharapkan supaya tidak berlaku sebarang ketirisan yang boleh menyebabkan sumber dana ini tidak sampai kepada sasaran untuk membangunkan negeri,” jelasnya.

Menurutnya lagi, PAS Sabah menyifatkan bajet itu merupakan belanjawan Keluarga Malaysia dan menepati sasaran semua lapisan masyarakat dan etnik di Sabah. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -