Harga beras murah ditanggung golongan pesawah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Harga beras murah yang dinikmati rakyat Malaysia sebenarnya ditanggung golongan pesawah 100 peratus.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd Fuad Yaacob berkata, kos mengerjakan sawah naik berkali ganda hampir setiap tahun.

Namun katanya jumlah subsidi yang diberikan kerajaan masih sama.

- Advertisement -

“Malah ia tidak adil kerana harga beras dan harga padi tidak dinaikan seiring peningkatan kos sekarang,” katanya pada kenyataan hari ini.

Jumaat lepas Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentang Bajet 2022 tidak menyenaraikan sebarang perubahan kepada golongan pesawah.

Sebaliknya kata Fuad bajet 2022 membantu petani dan pengeluar makanan lain yang menghadapi kenaikan kos, sebaliknnya tidak membantu pesawah yang mengeluarkan makanan ruji rakyat Malaysia.

“Jika kerajaan sudah tidak mahu memberi subsidi yang merupakan balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras, apungkan sahaja harga beras.

“Rakyat yang susah, diberikan bantuan kewangan untuk membeli beras yang naik harga, tetapi sebelum itu, sistem yang sudah tidak betul sekarang mesti diperbetulkan.

“Monopoli benih dan input pertanian mesti dihapuskan, biarkan semua pihak boleh mengeluarkan benih, kilang apa pun diboleh mengeluarkan benih, syarikat apa pun dibolehkan membekal input pertanian,” ujarnya.

Menurutnya juga selama ini, harga beras dikawal pada RM2.60 sekilogram, manakala harga minimum padi di peringkat kilang masih RM1.20 sekilo.

Kata beliau harga itu tidak termasuk faktor potongan pemutuan iaitu potongan untuk mendapatkan berat bersih yang semakin tinggi dikenakan oleh kilang beras.

“Hal yang sama tidak berlaku kepada sayuran, ikan dan makanan lain yang harganya naik apabila kos meningkat, iaitu kenaikan kos ditanggung juga pemborong dan pengguna,” katanya.

Beliau juga berkata, subsidi yang diberikan kepada pesawah untuk membolehkan rakyat menikmati harga beras tempatan yang murah kerana dikawal harganya. – HARAKAHDAILY 1/11/2021

- Advertisement -