Vaksinasi di Malaysia antara terbaik di dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pencapaian program vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia di mana sehingga sekarang mencapai 95 peratus penduduk dewasa, dan 62 peratus remaja.

Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hasil kejayaan itu bilangan kes Covid-19 sekarang menurun.

Manakala penggunaan wad ICU bagi kes Covid-19 berada pada tahap 42 peratus.

- Advertisement -

Oleh itu, kata beliau sistem kesihatan awam di Malaysia sekarang tidak lagi terbeban.

Begitu juga katanya dalam usaha membantu rakyat dan sektor perniagaan, di mana kerajaan tidak pernah alpa.

“Walau digasak pelbagai cabaran dalam ruang fiskal yang terhad, kerajaan tetap mencari jalan menyediakan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Alhamdulillah sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi disediakan kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM530 bilion, tidak termasuk peruntukan Belanjawan 2021.

“Pakej-pakej inilah yang memastikan kita ada makanan dihidangkan, ada didikan buat anak watan, ada perniagaan yang dipertahan, ada pekerjaan yang diciptakan dan pastinya masih ada lagi sebuah kehidupan,” katanya ketika membentang Bajet 2022 di Dewan Rakyat petang ini.

Menurutnya juga pertumbuhan ekonomi sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada 2020, kini berkembang 7.1 peratus.

Beliau berkata, suku keempat dijangka akan pulih lebih meluas apabila hampir semua negeri beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Katanya pada fasa itu sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kita dijangka berkembang antara 3 hingga 4 peratus tahun ini, Insya-Allah,” tambahnya.

Menteri Kewangan juga berkata, pada tahun depan, ekonomi negara diunjur berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksi asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya pelbagai.

Namun katanya, prestasi itu turut bergantung kepada faktor-faktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

- Advertisement -