
ASLANI M
KOTA BHARU: Bukan sahaja kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat Cina dilarang menjual arak, malah hotel pun tidak dibenar menghidangkan minuman tersebut di Kelantan.
Peraturan itu dikuatkuasa sejak 30 tahun lalu tanpa sebarang masalah dan diterima secara terbuka masyarakat non-Muslim.
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan, Lim Guan Seng berkata, peraturan tersebut sudah sebati dengan masyarakat bukan Islam di negeri tersebut.
Katanya, biarpun terdapat larangan menjual arak di Kelantan, namun masyarakat bukan Islam masih boleh mendapatkannya di premis khas yang diberi lesen oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Terdapat restoran khas yang dibenarkan menjual beer untuk masyarakat bukan Islam. Restoran itu tidak dibenarkan orang Islam masuk.
“Malah pekerjanya juga dalam kalangan bukan Islam. Orang Islam tidak dibenarkan bekerja di restoran terbabit,” katanya yang juga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).
Baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim ketika menjawab soalan di parlimen berkata, perbincangan larangan menjual minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di ibu negara masih diteruskan.
Menurutnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguh pelaksanaan penguatkuasaan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) sehingga 31 Oktober ini.
Sedangkan sebelum ini bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memberitahu penguatkuasaan peraturan itu bermula awal Oktober 2021.
Guan Seng juga berkata, terdapat kira-kira 30 restoran khas milik bukan Islam yang dibenarkan menjual arak di Kota Bharu.
“PBT melaksanakan peraturan itu bagi mengelakkan ada pihak menyalahgunakan kelulusan lesen yang diberi, sehingga menyebabkan jualan minuman keras tidak terkawal,” katanya di sini.
Menurutnya juga lesen menjual liquor iaitu arak yang diimport terdapat kira-kira 17 lesen di Kota Bharu bagi jualan secara borong sahaja.
Kata beliau lesen menjual arak diluluskan MPKB BRI mengikut zon yang terdapat ramai masyarakat bukan Islam termasuk Jalan Kebun Sultan dan Sri Cemerlang. – HARAKAHDAILY 13/10/2021











