Rentas negeri: Tiada kesesakan luar biasa di Kota Bharu

Stesen bas ekspres di Lembah Sireh, Kota Bharu
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Tiada sebarang kesesakan kenderaan luar biasa berlaku di bandar Kota Bharu selepas pengumuman kebenaran merentas negeri berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam tadi.

Tinjauan Harakahdaily ke stesen minyak, stesen bas serta trafik di sekitar bandar juga mendapati suasana masih lagi lengang, namun kaunter tiket dibuka bagi memudahkan orang ramai membeli tiket bas ekspress.

- Advertisement -

Kakitangan kaunter bas ekspres di Lembah Sireh, Nor Hasliza Mohd Noor, 37, berkata, tiket bas hanya boleh dijual kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Peningkatan pembelian tiket itu ada sedikit jika nak dibandingkan sebelum ini. Saya menjangkakan kemungkinan hujung minggu ini akan berlaku sesak disebabkan ramai anak Kelantan akan pulang.

“Malah bas membabitkan perjalanan dari semua negeri untuk pulang ke Kelantan sudah penuh, mungkin disebabkan mereka mengambil kesempatan untuk bertemu keluarga selepas rentas negeri dibenarkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang bapa, Azni Zainal Abidin, 66, berkata, beliau tidak sabar lagi bertemu dengan anak-anaknya setelah hampir dua tahun terpisah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

Namun dalam keterujaan dan kegembiraan itu katanya, beliau tetap bimbang dan berpesan agar anak-anaknya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walau pun diberi kelonggaran.

“Selepas kerajaan mengumumkan aktiviti rentas negeri semalam, telefon saya tidak berhenti berdering apabila mendapat panggilan daripada anak dan cucu yang mahu pulang ke Kelantan,” katanya.

Sementara itu, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Sabah, Muhammad Amer Hakim Azni, 24, berkata, sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, perasaannya bercampur baur berikutan kes Covid-19 masih lagi tinggi.

Malah, beliau akan mula mengambil cuti selama dua minggu bermula 1 November ini untuk pulang dan bertemu dengan ayah serta ahli keluarga di kampung. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -