
Oleh IBNU JANIE
MASJID TANAH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan peruntukan untuk membaik pulih beberapa kemudahan sukan di Melaka yang uzur atau rosak.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata rakyat Melaka diakui kerap menggunakan kemudahan sukan dan menjadi tanggungjawab KBS untuk memantau keperluan sukan yang diperlukan.
“Saya buat lawatan untuk melihat kemudahan sukan yang boleh diperbaiki, yang mana digunakan dengan sepenuhnya oleh masyarakat yang memerlukan penambahbaikan.
“Lawatan ini bukan kerana berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, namun ia adalah sebagai tanggungjawab kementerian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakah ketika mengadakan lawatan kerja singkat untuk meninjau kemudahan Gelanggang Futsal Taman Seri Aman, di sini, semalam.
Tinjauan itu adalah sebagai salah satu lokasi persinggahan singkat beliau dalam rangka lawatan sehari ke Melaka sempena Sambutan Hari Sukan Kebangsaan.
“Saya lihat di negeri Melaka ini, contohnya di kawasan ini para penduduknya memang kerap menggunakan kemudahan (sukan) dan menjadi tanggungjawab Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) memantau perkara ini.
“Ini bagi memastikan sukan di peringkat paling bawah, mereka di peringkat sukan massa ini diperkemaskan lagi, dipertingkatkan lagi, diperkasakan dengan menjaga kemudahan ini supaya ianya boleh digunakan tanpa boleh mencederakan para pengguna. Itu yang kami buat,” ujarnya.
Mengulas tentang Gelanggang Futsal Taman Seri Aman yang dilawatinya itu, beliau mendapati ada beberapa kerosakan yang dilihat boleh membahayakan penggunanya yang perlu untuk dibaikpulih demi keselamatan mereka.
“Ada permohonan juga untuk menutup, memasang bumbung di kawasan ini (gelanggang futsal ini). Saya akan lihat dari segi berapa banyak perkara yang perlu dibuat bagi sekitar negeri Melaka ini. Dan jika berkemampuan tentu saya akan bagi yang sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang turut mengiringi Faizal dalam lawatan itu mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri KBS itu.
“Kita hantar (cadangan permohonan) yang ini (Gelanggang Futsal Taman Seri Aman) dan juga satu lagi untuk Kampung Durian Daun bersama dengan pembaikpulihan untuk gelanggang-gelanggang yang lain (di Masjid Tanah).
“Ini termasuk gelanggang futsal, gelanggang bola tampar dan sebagainya. Kita sudah sediakan senarai untuk ini.
“Dan begitu juga untuk Kompleks Stadium Mini Masjid Tanah yang mana tadi saya sudah bagi kepada YB Menteri untuk kita buat padang bola dan juga ada kompleks satu lagi untuk stadium di Masjid Tanah. Yang itu dalam sembilan ekar tambahan,” ujar beliau.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata semua senarai yang dinyatakan itu sudah pun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) ini untuk dibawa kepada Kerajaan Persekutuan.
“Dan ia juga telah disokong. Juga perkara ini telah saya bincangkan juga dengan YAB Ketua Menteri Melaka,” ujarnya lagi.
Turut bersama dalam lawatan ini ialah Pengerusi PN Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen, pegawai-pegawai kanan KBS, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Arshad Md Som, juga pimpinan PAS dan Bersatu tempatan. – HARAKAHDAILY 11/10/2021











