Rakyat perlu ambil peluang tawaran kebajikan – MB

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

LANGKAWI:
Rakyat Kedah digesa mengambil peluang tawaran program-program kebajikan yang dianjurkan oleh kerajaan khususnya golongan sasaran.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, didapati masih ramai ibu bapa yang belum tampil membuat permohonan Program Anakku Sejahtera yang dimulakan pada tahun ini.

“Agak mendukacitakan apabila statistik terkini menunjukkan masih ramai ibu bapa belum tampil membuat permohonan sumbangan ini.

- Advertisement -

“Ini mungkin kerana mereka tidak sedar atau maklumat tidak sampai ke pengetahuan mereka bahawa kerajaan negeri bermurah hati untuk membantu mereka menerusi program ini,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Anakku Sejahtera di Aloft Langkawi, Pulau Tengah, Langkawi, hari ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri bersetuju syarat tempoh selama tiga bulan daripada tarikh kelahiran untuk permohonan didaftarkan, dimansuhkan.

Manakala ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021 serta berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah (B40) segera mendapatkan borang permohonan dan maklumat lanjut di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran.

Sungguhpun begitu ujarnya, pemohon perlu membuka akaun Simpan SSPN Prime terlebih dahulu untuk membolehkan deposit RM100 dimasukkan ke akaun terbabit sebaik sahaja permohonan diluluskan.

Simpanan SSPN Prime juga menawarkan pelbagai keistimewaan dan kelebihan yang sangat berbaloi kepada semua rakyat Malaysia termasuk pemberian dividen yang sangat kompetitif, perlindungan takaful percuma dan pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak serta patuh syariah.

Menurutnya lagi, ‘Kedah Negeri Untuk Orang Miskin Berteduh, Negeri Untuk Orang Kaya Berbakti’ menjadi iltizamnya sejak diberi amanah selaku Menteri Besar pada 17 Mei tahun lalu.

“Saya rasa begitu bertanggungjawab kepada orang miskin disebabkan latar belakang kehidupan saya sendiri pada masa silam.

“Dalam Islam, mengambil berat akan hal kehidupan rakyat miskin menjadi tanggungjawab utama setiap pemimpin kerajaan sebagaimana sirah Saidina Umar Al Khattab,” tegasnya lagi.

Berikutan itu, pada hematnya, peluang simpanan dalam Simpan SSPN Prime itu sewajarnya dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa untuk merancang kewangan untuk pendidikan anak-anak terutama persediaan untuk ke menara gading.

Sanusi juga mengharapkan agensi terbabit yang diberi tanggungjawab untuk pelaksanaan program itu dapat turun padang dan mempergiatkan usaha membuat hebahan kepada rakyat agar usaha yang murni itu dapat dikecapi rakyat tanpa mengambil kira latar belakang kaum atau agama, juga pegangan politik.

Program itu turut dihadiri Exco Pembanguan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali. – HARAKAHDAILY 10/10/2021

- Advertisement -