
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Kelantan) melupuskan sejumlah 245 bot nelayan asing Vietnam yang dilucutkan hak oleh mahkamah yang bernilai RM367 juta sejak 2007 sehingga sekarang.
Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 183 dilupuskan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan dan ditempatkanya di perairan Kelantan.
“Proses menenggelam bot sebagai tukun itu mendapat kerjasama penuh daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bagi memastikan kesesuaian serta tidak menjejaskan biodiversity marin dan memberi manfaatkan kepada nelayan pinggir pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program pelupusan dengan menenggelamkan empat bot nelayan Vietnam di perairan Pantai Sabak Pengkalan Chepa kira-kira 4.5 batu nautika dari sini hari ini.
Beliau berkata, tahun ini Maritim Kelantan menahan sebanyak 22 bot nelayan Vietnam dan dijangka akan dilupuskan selewat-lewatnya pada awal tahun depan setelah mendapat perintah lucut hak oleh mahkamah.
Mengenai penenggelaman empat bot hari ini beliau berkata, kempat-empat bot berkenaan ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan khusus untuk mengekang pencerobohan bot nelayan asing ke kawasan perairan negara.
“Ia turut melibatkan tahanan ke atas 51 krew termasuk tekong nelayan Vietnam,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/10/2021











