
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
TUMPAT: Polis Marin Wilayah Tiga Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat persediaan bagi menghadapi perubahan Monsun Timur Laut yang akan membawa jumlah taburan hujan tinggi.
Monsun tersebut menyebabkan berlaku peningkatan paras sungai dan kawasan rendah ditenggelami air.
Timbalan Komander Polis Marin Wilayah Tiga PDRM, Superintendan Mohd Razlin Abdul Manaf berkata, persediaan tersebut termasuk latihan dalam perkhidmatan serta penyelenggaraan enjin bot sangkut di Kontinjen Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Menurut beliau, latihan itu bagi meningkatkan kemahiran anggota yang terlibat dalam operasi banjir dan penyelamat.
Malah katanya Bahagian Kejuruteraan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga turut berperanan memastikan semua aset berada dalam keadaan siap sedia.
“Kita juga membentuk beberapa pasukan khusus bersama aset untuk digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan, pasukan ini akan bekerjasama dengan agensi penyelamat lain untuk memindahkan mangsa banjir ke pusat penempatan sementara.
“Selain itu kita juga membuat rondaan secara berkala bagi memastikan harta benda dan kediaman yang ditinggalkan mangsa banjir berada dalam keadaan selamat, sepanjang tempoh mereka berada di pusat penempatan sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Mohd Razlin juga berkata, pihaknya mempertingkatkan kesiapsiagaan kawalan sempadan perairan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang meliputi perairan Pahang, Terengganu sehingga perairan di Kuala Tak Bai sempadan Thailand.
Kata beliau juga antara strategi diatur melibatkan agensi lain dalam PDRM seperti Pasukan Gerakan Am untuk menjalankan rondaan bersama.
“Kami juga mengatur gerak Unit Risikan Marin untuk melakukan risikan keselamatan dan pengumpulan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan dengan penglibatan agensi lain antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.
Beliau juga berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga menjalinkan kerjasama dengan Royal Thai Marine Patrol (RTMP) dan Royal Thai Border Patrol (RTBP).
Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan dijangka dapat menguatkuasakan lagi undang-undang dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 6/10/2021











