PRN Melaka: Bukan masa sesuai, namun PN akur

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE dan ABU ANAS

- Advertisement -

AYER KEROH: Perikatan Nasional (PN) Melaka berpendapat bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Namun, ia tetap akan menyertainya jika diadakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat sebagai menghormati proses demokrasi.

Demikian kata kenyataan media PN Negeri Melaka yang dibacakan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen dalam satu sidang media di Hotel MITC di sini, petang tadi.

“PN Melaka mengambil maklum sidang media yang diadakan oleh empat ADUN Melaka yang diketuai oleh YB Datuk Seri Utama ldris Haron dan juga sidang media Pakatan Harapan Melaka yang diketuai oleh YB Adly Zahari semalam.

“PN Melaka juga mengambil maklum tentang permohonan pembubaran DUN Melaka oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang telah diperkenan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, PN Melaka kesal dan kecewa atas krisis politik dan pembubaran DUN Melaka yang tercetus di Negeri Melaka ekoran daripada kemelut dan percaturan politik yang berlaku ketika ini.

“PN Melaka berharap agar rakyat Melaka dapat memberi peluang dan sokongan kepada Parti Perikatan Nasional pada PRN Melaka kali ini bagi meneruskan usaha-usaha dan langkah-langkah pemulihan Negeri Melaka daripada pandemik Covid-19,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -