
SAYA menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah mengadakan Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) Masyitah Abdul Jalar, pengasas ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Tindakan tersebut tidak bermakna JAIS membuka aib individu tersebut malah ia mampu menarik pengikut PMYT agar kembali ke jalan benar sekali gus mendidik masyarakat awam khususnya umat Islam agar berhati-hati dengan sebarang ajaran yang diterima.
Tidak dinafikan, pelbagai langkah dan usaha telah diusahakan oleh pihak kerajaan bagi mengekang penyebaran ajaran sesat antaranya dengan melalui peruntukan undang-undang seperti mana terdapat beberapa seksyen berkaitan kesalahan berhubung dengan akidah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 seperti pemujaan salah, doktrin palsu, mengembangkan doktrin agama, dan dakwaan palsu.
Walau bagaimanapun, penyebaran ajaran sesat tidak dapat dikekang jika setiap individu Muslim tidak berwaspada dan tidak berusaha untuk meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul.
Oleh itu, saya menggesa umat Islam agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan, menerima, mahupun berkongsi satu-satu berita sekali gus mampu menghalang daripada tersebarnya ajaran sesat yang jelas sekali merosakkan akidah seseorang.
Sebagaimana firman Allah Taala dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 4/10/2021











