Peruntukan RM600,000 naik taraf ban, parit

- Advertisement -

DENGKIL: Sebanyak RM600,000 diperuntukkan untuk projek naik taraf ban dan parit bagi menyelesaikan masalah banjir di beberapa kawasan melibatkan Kampung Lalang dan Kampung Sri Tanjung, di sini.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyelesaian jangka pendek itu akan dilaksanakan segera setelah selesai pelaporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Mengulas lanjut katanya, KASA akan bekerjasama dengan JPS bagi menaik taraf sistem penyelenggaraan yang lebih sistematik membabitkan sungai di kawasan berkenaan.

“Saya tengok ini merupakan penyelesaian jangka pendek yang kita boleh segerakan, insya-Allah.

“Kita akan peruntukkan dalam RM600,000 untuk naik taraf ban, penyelenggaraan, sistem perparitan dan sebagainya. Dan itu kita boleh buat segera.

“Kita akan lakukan kerjasama bersama JPS, dan insya-Allah yang lain-lain yang kita nampak segera kita boleh bantu,” katanya kepada media selepas melawat ke kawasan banjir, di sini, hari ini.

Turut bersama beliau, Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Dato’ Sri Rina Harun.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya turut memberikan penyelesaian jangka panjang melibatkan pembesaran Sungai Semarang dengan menaik taraf pintu air dan pembinaan pam baharu di kawasan tersebut.

“Saya melihat tentang masalah aliran air di kawasan ini, mungkin kita akan fokus kepada naik taraf pintu air dan pembinaan pam baharu di kawasan ini.

“Bagaimanapun, ia memerlukan kajian teliti yang lebih lanjut,” ujarnya ringkas.

Terdahulu, beberapa kawasan kampung di sekitar Dengkil ditenggelami air sehingga menjejaskan kediaman penduduk berikutan banjir kilat. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -