Emping hanya dapat dirasai setahun sekali

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Anak muda zaman sekarang sudah tidak lagi mengenali makanan tradisi khususnya di Perlis iaitu ringgi atau emping.

Tradisi membuat makanan tradisional itu pada zaman lampau ketika mengetam padi pulut dan menunggu musim untuk menuai padi beras.

Oleh itu bagi mengimbau nostalgia lama membikin kuat tradisional tersebut, sekumpulan penduduk di Kampung Oran melakukan proses membuat makanan terbabit.

- Advertisement -

Seorang penduduk Salim Aziz berkata emping atau ringgi kebiasaannya dapat dirasai setahun sekali iaitu pada musim timur.

“Tradisi mengetam padi pulut dilakukan oleh masyarakat dahulu, sementara menunggu musim untuk menuai padi beras.

“Padi pulut biasanya akan dijadikan emping dan juga ringgi dengan menggunakan kaedah sukat secara lama atau tradisional iaitu menggunakan kepoi atau gantang.

“Jika padi yang diketam segantang, mungkin ringgi yang dihasilkan ialah empat kepoi iaitu secupak,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya juga proses menghasilkan makanan itu mengambil masa dua hari bermula dengan proses turun ke sawah bagi mengetam padi pulut yang kebiasaannya dilakukan pada musim menuai.

Seorang petani Mohd Asri Dali berkata, proses membuat emping dan ringgi tidak mudah seperti disangka kerana walaupun dilihat hampir sama namun tekstur dan warnanya berbeza.

“Padi yang berwarna hijau biasanya akan dibuat ringgi iaitu padi yang berusia 85 hari, manakala yang berwarna kuning akan dijadikan emping iaitu padi yang berusia 100 hari.

“Tekstur ringgi pula lebih lembut dan kehijauan manakala emping agak keras dan leper,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

[Ikuti perkongsian mengenai teknik membuat ringgi atau emping dalam Harakah edisi cetak, keluaran akan datang]

- Advertisement -