
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perlis mengesyor cadangan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan laporan Audit, di samping memperkasakan sektor pelancongan negeri.
Pengerusi PAC Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk memastikan peningkatan pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, bagi meningkatkan lagi promosi sektor pelancongan, sebuah sekretariat khas perlu diwujudkan supaya lebih fokus untuk memperkenalkan tempat menarik di Perlis kepada pelancong luar.
“Selain itu Jabatan Pertanian Perlis, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perhutanan Negeri (JPH) perlu diberi dana khas untuk membaik pulih dan promosi pusat pelancongan di bawah kendalian jabatan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mesyuarat PAC Perlis kali kedua itu berlangsung semalam disertai Adun Kuala Perlis, Azam Karap dan Adun Sena, Asrul Nizan Abdul Jalil.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Audit Negara Perlis, Abd Aziz Che Daud dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perlis, Mawar Awang merangkap Setiausaha PAC Perlis serta Penolong Setiausaha Dun Perlis, Hazraf Khan dan Penolong Pengarah Audit Negeri, Nurulhuda Ghazali.
Mesyuarat terbabit membincangkan hasil dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1 Aktiviti Jabatan Negeri Perlis.
Laporan menyebut lima pusat pelancongan di Perlis tidak diurus dengan cekap oleh tiga jabatan berkenaan.
Menurut Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang, Jabatan Pertanian, JPV dan JPH dipertanggungjawab mengurus Taman Anggur Perlis, Pusat Ekuin Perlis, Rimba Herba Perlis, Chalet Bukit Ayer Fasa I hingga III serta Pusat Rawatan Alternatif dan Spa. – HARAKAHDAILY 21/9/2021











