Kedah capai 50 peratus vaksinasi lengkap

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah kini mencapai lebih 50 peratus vaksinasi lengkap, manakala 62 peratus daripada jumlah yang mendaftar sudah menerima suntikan dos pertama.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, vaksinasi di negeri itu akan bertambah secara drastik sedikit masa lagi apabila sebanyak 1.4 juta dos seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diterima.

“Sebanyak 1.4 juta dos dijangka dapat mencapai populasi vaksinasi dewasa 18 tahun ke atas dan remaja 12 hingga 18 tahun.

“Ini merupakan langkah segera untuk mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus di Kedah,” katanya pada sidang media sempena persidangan Dun Kedah, hari ini.

Menurutnya juga kadar vaksinasi di Pendang dan Baling yang dimaklumkan Menteri Kesihatan semalam dianggap tidak begitu rendah.

Kata beliau di Baling kadar vaksinasi di tahap 48 peratus, manakala di Pendang 44 peratus.

“Ia tidaklah terlalu jauh berbanding beberapa daerah lain antaranya pada kadar 50 peratus.

“Dalam usaha untuk mencapai sasaran lebih 60 peratus perlu dilakukan segera melalui program vaksinasi secara outreach. Di Baling program vaksinasi outreach dilaksanakan di beberapa lokasi,” katanya.

Sanusi berkata, daerah tersebut rendah disebabkan kekurangan bekalan vaksin ketika program walk-in diumumkan.

“Program walk-in mendapat sambutan menggalakkan tetapi bekalan vaksin tidak cukup. Tetapi dengan ada 1.4 juta dos ia akan dapat mengatasi masalah tersebut,” tambah beliau.

Menurutnya juga sidang Dun kali ini dan persidangan Bajet 2022 pada November diharap memberi impak kepada rancangan baharu kerajaan melalui projek-projek yang akan dilaksanakan.

Dalam pada itu beliau turut menyambut baik Titah Tuanku Sultan di mana baginda berharap kepentingan rakyat diutamakan melebihi politik perlu diambil perhatian sewajarnya. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -