Mempertahankan islam tiada had tempoh

- Advertisement -

MUTAKHIR ini, beberapa isu berkaitan agama semakin menjadi topik perbualan bahkan bukan sahaja di Malaysia malahan peringkat antarabangsa.

- Advertisement -

Terkini, azan telah dijadikan bunyi latar dalam satu promosi program Street Woman Fighter merupakan satu tindakan biadab melalui rancangan televisyen Korea MNET.

Ternyata, ramai mengecam tindakan tersebut hingga produksi itu memohon maaf atas insiden yang berlaku.

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia Perak (ILMAM Perak) terpanggil untuk mengajak semua pihak agar menyedari bahawa mempertahankan Islam tidak mempunyai had tempoh atau hanya kepada beberapa keadaan sahaja.

Namun sebaliknya, segala usaha yang mencemarkan kesucian Islam wajar dipertahankan dengan sebaiknya.

Jika isu azan tersebut mendapat ketegasan dan kecaman netizen maka segala bentuk hiburan yang menjurus kepada bertentangan dengan syariat Islam juga perlu diberikan perhatian.

Dalam tempoh negara masih lagi berhadapan dengan pendemik Covid-19 ini, sebaiknya pelbagai bentuk hiburan melalaikan terutama melibatkan percampuran lelaki dan wanita, terdedah aurat serta tidak memberikan manfaat perlu dinilaikan semula.

Begitu juga perkara berkaitan akidah umat Islam perlu diberikan perhatian khusus apabila wujud pelbagai ajaran-ajaran serta fahaman yang diselewengkan atas nama Islam melalui media sosial.

Pengisian kerohanian dan membangunkan jiwa serta pengetahuan seperti My Quran Time, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Didik TV dan beberapa lagi bentuk seumpama ini wajar ditingkatkan.

Pihak kerajaan dan segala entiti berautoriti perlu bergandingan untuk memastikan kefahaman masyarakat dalam mempertahankan Islam tidak hanya pada beberapa bahagian sebaliknya secara holistik.

Ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang dan akta boleh dibuat penilaian tahap keberkesanan atau memerlukan penambahan polisi yang sesuai dengan keperluan semasa.

ILMAM Perak optimis, aspirasi Keluarga Malaysia mampu dijadikan contoh pentadbiran yang membentuk kekuatan dan kemajuan pembangunan negara serta ekonomi bahkan turut meningkatkan kualiti modal insan sebaiknya.

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI
PENGERUSI Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia
Negeri Perak (ILMAM Perak) – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -