Usah bazir masa bahas isu politik di Parlimen

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Senario perbahasan di Dewan Rakyat pada Julai lalu perlu dijadikan pengajaran kerana pembaziran waktu berikutan ahli Parlimen pembangkang lebih mengutamakan politik berbanding menangani penularan Covid-19.

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 akan diadakan bermula 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin dalam kenyataan sebelum ini berkata, jadual itu dipinda berbanding 15 hari sebelum ini, di mana bermula 6 September hingga 30 September ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata persidangan itu diharap menghasilkan kerangka persefahaman bersama selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ bagi menangani krisis berganda di negara ini.

Katanya, sektor paling terjejas teruk akibat pandemik perlu diberikan penekanan pada persidangan kali ini.

“Antaranya sektor pendidikan, ini kerana lebih lima juta pelajar terpaksa berhadapan kekangan yang sangat berat dalam proses pembelajaran sekarang.

“Perlu dilihat selari dan langkah-langkah yang dilaksanakan termasuk vaksinasi kepada pelajar perlu diurus dengan baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di samping itu menurut Ahmad Tarmizi, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu dibahas lebih terperinci bagi memastikan imuniti kelompok dicapai sekurang-kurangnya sebelum 2022.

Selain itu katanya pemerkasaan vaksinasi membabitkan pekerja barisan hadapan dan pengusaha industri pertanian dan agro makanan menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC).

“Kami telah menghantar soalan-soalan kepada pihak pengurusan parlimen untuk dijawab kementerian, ia melibatkan isu melata seluruh rakyat.

“Saya menumpukan isu-isu berkaitan khususnya di bawah portfolio pertanian. Tumpuan kesan-kesan pandemik kepada industri padi,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap persidangan kali ini lebih terarah membahaskan polisi dan dasar-dasar di peringkat kementerian untuk dimanfaatkan rakyat. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -