Program imunisasi mulai nampak sinar kejayaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menampakkan sinar kejayaan memandangkan negara berjaya mengawal pandemik terutamanya aspek penularan jangkitan.

Selain itu kes kemasukan ke hospital dan kes kematian juga sudah menurun.

Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Zaini Othman berkata, berikutan perkembangan itu kerajaan mahu rakyat bersedia untuk terus hidup dengan endemik.

- Advertisement -

Katanya, orang ramai tidak menolak fakta Covid-19 akan terus hidup bersama kita setelah negara beralih ke fasa endemik pada akhir Oktober.

Oleh itu kata beliau semua pihak terus berganding bahu membantu kerajaan memromosikan kepentingan vaksinasi.

“Kita ingin melihat seramai mungkin masyarakat menerima vaksin dan mendapat perlindungan imunisasi kerana ia salah satu ikhtiar untuk melihat Keluarga Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata, negara dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober selepas 80 peratus penduduk dewasa menerima dua dos vaksin.

Mohd Zaini juga berkata, pengumuman menteri terbabit sebagai petanda positif dan kerajaan dilihat bersedia untuk membawa Keluarga Malaysia lebih ‘bebas’.

Katanya kerajaan memberi komitmen sedikit masa lagi akan mengumumkan langkah-langkah bagi memudahkan SOP sedia ada supaya rakyat bersedia hidup bersama Covid-19 dalam fasa endemik nanti.

“Sudah lebih setahun rakyat Malaysia berjuang dan bertahan untuk membebaskan negara daripada penjajahan Covid-19.

“Sepanjang tempoh tersebut, ada penduduk kehilangan orang tersayang dan ahli keluarga, terputus punca pendapatan, dibelenggu tekanan hidup dan hubungan suami isteri berantakan,” ujarnya.

Malah sebelum ini Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan kelonggaran SOP berada dalam radar kerajaan untuk dipertimbang, selain memberi bayangan kebenaran membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Tambahnya juga kerajaan mengambil kira pelbagi faktor sebelum setiap kelonggaran dimuktamad kerana ia melibatkan soal kesihatan rakyat dan keselamatan negara. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -