Langkawi siap sedia sambut pelancong 16 Sept

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah bersama agensi berkaitan serta pemain industri pelancongan tempatan bersedia sedia menerima kehadiran pelancong mulai 16 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Firdaus Ahmad berkata, hasrat itu sekali gus berharap dapat keluar daripada kemelut dan kelesuan sektor pelancongan hampir dua tahun.

Katanya juga kadar vaksinasi di pulau itu sekarang mencapai 89.2 peratus untuk dos pertama dan 82.3 peratus dos kedua.

- Advertisement -

“Dengan kadar itu, Langkawi sekaligus telah mencapai imunasi kelompok seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Kerajaan bercadang membuka semula aktiviti pelancongan di Langkawi dan menjadikannya lokasi pertama di Malaysia sebagai projek rintis program Gelembung Pelancongan pasca Covid-19.

Malah minggu lepas Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan operasi pelancongan di Langkawi dibuka bersempena sambutan Hari Malaysia.

“Saya menyambut baik hasrat kerajaan untuk membuka semula aktiviti pelancongan di Langkawi,” kata Firdaus.

Menurutnya juga aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu dititik berat dan diberi penekanan dengan memastikan pelancong yang hadir mendapat dua dos vaksin lengkap selain mematuhi prosuder yang lain.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada lokasi pelancongan terkenal di Phuket dan Bali yang lebih awal dibuka tetapi terpaksa ditutup kembali kerana penularan kes jangkitan terutamanya varian Delta,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kuah berharap lokasi sektor pelancongan di negeri lain juga mendapat kebenaran untuk dibuka supaya setiap pemain industri mendapat manfaat.

Sabtu lalu Kementerian Kesenian, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan hanya tujuh aktiviti pelancongan utama sahaja dibenarkan sempena pembukaan Langkawi.

Antaranya aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment dan taman rekreasi.

Selain itu sukan lasak atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.

Kebenaran juga merangkumi penginapan di hotel dan homestay. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -