Manifesto Parti Cinta Sabah perkenal ‘Recall Petition’

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Manifesto Parti Cinta Sabah (PCS) pada pilihan raya lepas memperkenalkan Recall Petition sebagai langkah untuk mengelakkan budaya melompat parti.

Ketua Pemuda PCS, AG Zakariah Ibrahim berkata, akujanji ‘Recall Petition’ sudah lama dicadangkan parti itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kerusi wakil rakyat yang melompat parti dikosongkan.

Kata beliau SPR boleh isytiharkan kerusi kosong sekiranya seseorang Adun mengkhianati dengan melompat parti, meletak jawatan atau dipecat parti atas alasan yang munasabah.

- Advertisement -

“Ini bermakna, individu tadi bebas memilih ingin bersama mana-mana parti politik, namun pilihan raya kecil akan diadakan supaya mandat dapat dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Parti Cinta Sabah akan terus berusaha memastikan perundangan berkaitan pemilihan semula digubal dan dilaksanakan demi masa depan Sabah yang lebih stabil.

“Kami berharap perkara ini akan dilaksanakan dengan segera di semua peringkat bagi menjamin masa depan yang lebih baik dan stabil di negara kita,” katanya pada kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Timbalan Presiden Pas, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan Akta Lompat Parti diwujudkan bagi mengelakkan pertukaran kerajaan pada masa akan datang.

Menurutnya, akta tersebut dapat memastikan politik negara berada di tahap yang stabil dan tidak berlaku pengkhianatan terhadap parti.

AG Zakariah juga berkata, pemilihan semula wakil rakyat lebih baik berbanding undang-undang antilompat jika ahli Parlimen mahu bertukar kepada parti lain.

Menurutnya, Presiden PCS Dato’ Sri Anifah Aman pernah menyatakan perkara itu sebagai budaya politik yang menjengkelkan.

“Banyak masalah timbul dalam senario politik, bukan sahaja di Sabah bahkan di seluruh Malaysia kerana wujudnya golongan pemimpin yang melompat keluar dan masuk ke parti-parti lain,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau PCS menghormati hak mana-mana pemimpin menyertai mana-mana parti politik.

Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1991 pernah meluluskan undang-undang antilompat parti.

Perkara 31A Undang-Undang Kelantan menetapkan jika mana-mana Adun keluar daripada partinya, maka dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya hendaklah menjadi kosong.

Sebelum itu dua Adun Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib Wan Mohamad menyertai Umno. Berikutan itu Dun Kelantan mengisytiharkan kedua-dua kerusi tersebut kosong.

Berikutan itu pilihan raya kecil dilaksanakan dan mereka bertanding sebagai Umno namun kalah kepada calon Semangat 46.

Bagaimanapun kedua-dua bekas Adun terbabit mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka berdua dan memutuskan Perkara 31A Perlembagaan Kelantan adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -