
Oleh SARINA ISMAIL
YAN: Pengusaha chalet yang mengalami kerugian akibat kejadian kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos lalu, akan diberi saguhati di bawah pemulihan industri pelancongan desa.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengusaha berkenaan didapati membina chalet di atas tanah rezab sungai dan tidak mengikut peraturan.
“Mungkin ketika dahulu (sewaktu chalet dibina) mereka kurang cakna dengan peraturan dan syarat-syarat pembinaan.
“Untuk pemulihan pasca banjir ini, nak bina semula perlu ada geran tanah, surat kebenaran serta kelulusan dari majlis daerah,” kata beliau ketika sidang media di Kampung Aceh, Yan, kelmarin.
Ujarnya lagi, peraturan berkenaan bukan bertujuan untuk menyekat mana-mana pihak untuk mengusahakan chalet atau rumah-rumah tumpangan, namun ia berkait dengan keselamatan.
“Alhamdulillah, bencana berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bayangkan kalau waktu biasa, tentukan chalet itu penuh dengan pengunjung. Jadi siapa yang dipertanggungjawabkan keselamatan mereka.
“Sebelum ini kita pun tak tahu chalet-chalet itu dibina atas rezab sungai dan tiada kelulusan pihak berwajib. Jadi bencana ini baru tahu,” ujarnya.
Sungguhpun begitu, kerajaan negeri tetap akan mengambil perhatian di atas kerugian yang dialami pengusaha berkenaan dan akan cuba membantu di bawah pemulihan industri pelancongan desa.
Oleh itu Sanusi menyarankan Majlis Daerah Yan menentukan kaedah untuk memastikan struktur itu dibina berlunas undang-undang dan peraturan untuk keselamatan pemilik serta pengunjung.
“Kerajaan juga perlu mengambil masa untuk menyusun atur dan tata letak pembinaan premis atau bangunan di sepanjang sungai atas keselamatan semua pihak,” tambahnya.
Sehingga kini kata beliau pihaknya belum mengadakan perbincangan bersama 14 pengusaha chalet yang terlibat kerana masih memberi tumpuan mencuci dan membersihkan kawasan terjejas. – HARAKAHDAILY 2/9/2021











