
SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR
TUMPAT: Kelantan bakal menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 sebagaimana yang diumumkan kerajaan semalam, sebagai berita gembira untuk rakyat di negeri ini.
Pada masa yang sama, imuniti kelompok bakal dicapai Oktober depan bakal menjadi kenyataan.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, setakat ini sebanyak 585,000 dos vaksin sudah diterima.
Katanya, dengan agihan yang bakal diterima iaitu jangkaan 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir September akan dapat dicapai.
“Setakat ini kita agak ke belakang berbanding beberapa negeri lain dalam suntikan vaksi. Kalau vaksin ikut jadual, kita yakin akan mencapai 80 peratus komuniti kelompok hujung September,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau melakukan lawatan ke Outreach Vaksin Dun Pasir Pekan di Sekolah Kebangsaan Kampung Laut..
Sepanjang empat hari beroperasi seramai 2,340 individu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV itu.
Ahmad juga berkata, sekarang 585,000 dos yang masih ada dan akan sampai pula 1.2 juta dos tidak lama lagi sebagaimana yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam.
“Ini bermakna dos tersebut mencukupi untuk sasaran imuniti kelompok selewat-lewatnya akhir September ini.
“Semalam suntikan vaksin berjaya diberikan kepada penduduk sebanyak 36,394 dos dalam tempoh sehari di seluruh Kelantan,” ujarnya.
Oleh itu beliau menyifatkan perkembangan tersebut diharap dapat memberi semangat kepada rakyat Kelantan untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan lebih cepat.
Pada masa sama, beliau berkata, 20,000 dos vaksin yang dibekalkan akan diperuntuk kepada penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini. – HARAKAHDAILY 2/9/2021











