Hutan Simpan Kuala Langat kawasan sensitif tahap pertama

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang tindakan kerajaan negeri Selangor akan menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) semata-mata untuk pembangunan komersial.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, keputusan kerajaan Selangor sangat tidak bertanggungjawab, terutamanya dalam menghadapi krisis iklim sekarang.

- Advertisement -

Katanya, keputusan itu bertentangan dengan pelbagai komitmen antarabangsa yang dibuat kerajaan Persekutuan mengenai perubahan iklim, kepelbagaian biologi dan hak-hak Orang Asli.

“Sebarang projek pembangunan di atas tanah gambut akan menyebabkan pelepasan karbon dioksida dalam jumlah yang tinggi dan kehilangan kepelbagaian biologi, termasuk spesies tumbuhan dan haiwan sangat terancam.

“HSKLU, sebagai hutan gambut, adalah ekosistem yang kaya dengan karbon dan biodiversiti dan ia adalah salah satu hutan gambut yang terakhir di selatan Selangor,” ujar beliau dalam kenyataan, semalam.

Baru-baru ini Selangor mengesah melulus menyahwartakan kawasan seluas 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara sehingga mendapat bantahan pelbagai pihak.

Meenakshi juga berkata, terdapat beberapa komuniti Orang Asli yang bergantung kepada kesejahteraan ekosistem hutan di sebelah barat HSKLU.

“Malah keputusan itu juga bertentangan dengan Rancangan Fizikal Negara dan Dasar Pembangunan Negara.

“HSKLU memenuhi syarat sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap Pertama di bawah Rancangan Fizikal Negara Ketiga, di mana ia seharusnya dilindungi dan tiada penukaran atau sebarang projek pembangunan dibenarkan di atas HSKLU.

“Tambahan pula, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 bertujuan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 32 peratus daripada Selangor sebagai litupan hutan.

“Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030 pula telah mengkategorikan HSKLU sebagai zon tanpa pembangunan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata lagi bahawa, keputusan itu juga bertentangan dengan ketetapan yang luar biasa yang diluluskan di Dewan Negeri Selangor pada November 2020.

“Ahli Dewan Negeri telah sebulat suara meluluskan usul yang mendesak kerajaan negeri untuk memelihara semua hutan yang masih diwartakan di Selangor.

“Orang ramai juga menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan tersebut dan Jabatan Perhutanan telah menerima lebih daripada 45,000 bantahan.

“Petisyen dalam talian juga telah mengumpulkan sekitar 130,000 tandatangan.

“Malah, Kempen #hutanpergimana di media sosial pada Oktober 2020 menjejak bahawa hampir 1,500 orang telah menghantar e-mel bantahan kepada beberapa atau semua wakil rakyat di Selangor,” kata beliau.

Tambah beliau, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor juga dilaporkan mempertimbangkan bantahan-bantahan yang diterima daripada orang ramai.

Oleh itu katanya, 54 peratus daripada keluasan HSKLU 931 hektar, iaitu 534 hektar akan dinyahwartakan.

Justeru, beliau berharap tuntutan daripada orang ramai agar keseluruhan penyahwartaan HSKLU dibatalkan sama sekali dan bukan pengurangan saiz kawasan penyahwartaan tersebut.

“Keputusan dan pendirian negeri Selangor yang mengabaikan kepentingan awam harus dikecam, dan ia bertentangan dengan prinsip tadbir urus alam sekitar dan sosial yang baik,” katanya.

Bagaimanapun semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendedahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan akan menangguhkan proses penyahwartaan itu sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan kesemua isu berbangkit. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -