
Oleh SARINA ISMAIL
YAN: Peruntukan RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob 23 Ogos lalu diharap dapat mempercepatkan pembangunan semula infrastruktur di Yan dan Merbok.
Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, peruntukan tersebut dapat memberi wajah baru di lokasi terbabit akibat tragedi kepala air Gunung Jerai baru-baru ini.
Katanya juga sehingga sekarang hampir keseluruhan penduduk yang terjejas di Yan menerima sumbangan keperluan asas yang terdiri daripada barangan dapur termasuk tong gas.
“Cuma mungkin ada yang tercicir, boleh dapatkan tuntutan bersama laporan polis. Begitu juga operasi mencuci rumah penduduk sudah selesai.
“Namun masih terdapat premis-permis agensi kerajaan belum selesai dibersihkan. Saya mengucap ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya ketika ditemu di pejabatnya di Guar Chempedak, semalam.
Pada kejadian rempuhan kepala air di Gunung Jerai Ogos lepas ratusan rumah penduduk terjejas akibat banjir lumpur yang membabitkan lebih 1,000 keluarga di daerah Yan dan Kuala Muda.
Fenomena ekoran hujan lebat tersebut juga meranap beberapa resort yang terletak di kaki Gunung Jerai dan mengorbankan enam penduduk tempatan.
Sabri juga berkata, kepimpinan kerajaan pusat sekarang yang turut melibatkan PAS sebagai kompenannya diharap mampu menjadi contoh kepada negara-negara lain.
“Malah, keberadaan PAS dalam kabinet diharap dapat membantu mengembalikan kepercayaan rakyat serta menstabilkan politik negara,” katanya.
Sementara itu sempena sambutan Hari Kebangsaan semalam Pusat Khidmat Wakil Rakyatnya (PKWR) Yan mengedarkan bendera Jalur Gemilang di empat sekatan jalan raya (SJR) sekitar Yan.
Antaranya, SJR Simpang Tiga Jenun, Kepala Bukit, lebuh raya dan SJR di Singkir. – HARAKAHDAILY 1/9/2021











