
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sempena memperingati hari bersejarah ini, baginda bertitah agar setiap rakyat menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu ke arah mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.
“Baginda mahu penghargaan sama ditujukan kepada petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) yang sedang berjuang merawat dan menguruskan wabak Covid-19 ketika ini, khususnya kakitangan hospital serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung seperti pengurusan jenazah dan pengebumian,” ujar Selangor Royal Office dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurut kenyataan itu, baginda amat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas-petugas ini dan mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan serta sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat jelata.
Tambahnya, pada kesempatan meraikan Hari Kemerdekaan ini juga, baginda ingin mengingatkan kepada rakyat jelata agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.
“Dengan menjiwai semangat merdeka dan patriotisme, baginda mahu sekalian rakyat tidak bersifat mementingkan diri dengan menolak pemberian vaksin Covid-19 yang boleh menjejaskan sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, dan seterusnya mengembalikan kehidupan rakyat seperti sediakala,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 30/8/2021











