
TEMERLOH: PAS Negeri Pahang telah menggerakkan peranan proaktif menjayakan edaran Bakul Makanan yang telah diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi disampaikan kepada golongan memerlukan.
Serahan telah dilakukan kepada penduduk yang telah dikenal pasti terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan jangkitan COVID-19 di tiga DUN iaitu Mentakab, Lanchang dan Kuala Semantan, di sini.
Setiausaha PAS Pahang, Hasanuddin Salim telah mengetuai edaran ini disertai wakil PAS Kawasan Temerloh iaitu Penolong Setiausaha, Ustaz Zulkefli Yusof dan Pengerusi Lajnah Kebajikan, Siti Baksa Mahidin serta Ketua Khidmat Malaysia, Rosli Mokhtar.
Pemberian Bakul Makanan yang merupakan inisiatif kebajikan ini bertujuan meringankan beban golongan terbabit dan bukti keprihatinan kerajaan menolong rakyat atas kesan global sedang dialami kini.
Menurut Hasanuddin, beliau berharap kerajaan akan terus dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk memberi fokus kepada usaha mencari jalan keluar dari pandemik COVID-19 dan memacu pertumbuhan ekonomi.
“Saya berkeyakinan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan akan menilai keupayaan kabinet beliau selepas 100 hari bagi mencapai objektif tertentu yang digariskan akan menjadi titik tolak kepada kejayaan ingin dicapai oleh kerajaan.
“Tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional yang telah berjaya mengekalkan kerajaan. Terima kasih juga di atas kepercayaan untuk terus mengekalkan komposisi anggota kabinet daripada PAS di dalam komponen kerajaan beliau hari ini.
“Semoga barisan anggota kabinet daripada PAS akan terus memberikan yang terbaik bagi memastikan kejayaan kerajaan ini. Tidak ketinggalan juga, sebagai anak Temerloh pastilah pemilihan beliau sebagai PM ke-9 adalah suatu yang amat membanggakan kami di Temerloh.
“Saya penuh berkeyakinan kerajaan yang dibentuk hari ini akan meneruskan PPN yang In syaa-Allah dapat membawa keluar negara ini dari kemelut pandemik COVID-19 dan kehidupan buat seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2021











