‘Kabinet Moratorium’ mampu reda ketegangan politik

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini disifatkan ‘Kabinet Moratorium’ yang mampu meredakan ketegangan politik antara parti-parti komponen yang membentuk kerajaan.

Menurut penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pelantikan menteri melibatkan komposisi parti di Borneo mampu menjawab tohmahan sesetengah pihak.

- Advertisement -

“Seorang menteri khas di Jabatan Perdana Menteri untuk hal ehwal Sabah dan Sarawak sebagai bukti kerajaan baru mengarusperdanakan suara Borneo.

“Ini akan melenyapkan kritikan bahawa parti semenanjung menganaktirikan dan mengetepikan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Mohammad Tawfik turut menyifatkan pelantikan Khairy Jamaludin Abu Bakar memegang portfolio Menteri Kesihatan adalah calon paling tepat.

Katanya, tenaga muda adalah pilihan terbaik bagi menguruskan pandemik tanpa mementingkan sebarang propaganda politik yang merugikan.

“Saya anggap rakyat menyambut baik pelantikan itu ketika kita memerlukan seorang tenaga muda berkaliber yang mampu mengendalikan pandemik Covid-19 tanpa menghiraukan politiking demi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terus terjamin,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memberikan ruang serta peluang kepada kabinet baharu membuktikan keupayaan mereka melaksanakan tugas lebih drastik dan agresif.

Malah, beliau berpandangan jemaah menteri perlu bekerja keras kerana mereka berhadapan dengan cabaran dan halangan getir dalam aspek kesihatan, ekonomi dan politik.

“Kabinet kali ini perlu diberikan peluang oleh rakyat, mereka perlu membuktikan kemampuan dalam masa yang terhad dan tempoh 100 hari amat sesuai untuk menilai prestasi jemaah menteri.

“Sekarang adalah masa untuk kerajaan bergandingan dengan semua pemegang taruh dan lapisan rakyat,” tambah Mohammad Tawfik. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -