Bilik Gerakan Banjir Masjid Wusto ditutup Ahad ini

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Bilik Gerakan Banjir di Masjid Wusto, Guar Chempedak akan menamatkan operasinya pada Ahad ini memandangkan kerja-kerja membersih kawasan dan mencuci premis pasca banjir berakhir semalam.

Pengerusi Bilik Gerakan berkenaan Ustaz Musoddak Ahmad berkata, beliau merakam ucapan terima kasih semua pihak yang bertungkus lumus membantu operasi berkenaan.

Katanya, penghargaan kepada penyumbang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, individu dan petugas PAS dari seluruh Kedah.

- Advertisement -

“Begitu juga Jabatan Amal, Briged Muslimat dan semua pihak yang terlibat menjayakan misi dan operasi tersebut,” kata beliau di sini.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kedah berkata, sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir akan diurus sepenuh pihaknya.

Kata beliau sumbangan masih dibuka di mana boleh dihulur melalui akaun 552170001133 (Maybank) bagi membantu penduduk yang terjejas.

Tragedi kepala air di Gunung Jerai pada petang 18 Ogos lalu mengakibatkan kampung-kampung di sekitar kaki gunung terbabit dilanda banjir lumpur.

Bencana itu turut meragut enam nyawa dan memusnahkan kawasan rekreasi dan chalet berhampiran. Yan antara kawasan paling terkesan selain Gurun dan Tupah di Merbok. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -