
YAN: Walaupun terpaksa menempuh rintangan dan bahaya, namun operasi baik pulih saluran paip untuk kemudahan penduduk tetap dilakukan anggota Jabatan Amal Kedah.
Menurut pengarah operasi, Nakaie Hassan, paip tersebut rosak akibat tragedi kepala air Rabu lepas, sedangkan ia menjadi sumber bekalan air penduduk Sungai Badak Tiga, Gurun.
“Kami membeli paip baharu dan bersama menggembleng tenaga anggota dari negeri-negeri lain. Kami naik ke kaki Gunung Jerai untuk memasang paip baharu,” kata beliau di sini.
Katanya kerja-kerja pemasangan itu berdepan dengan kesukaran kerana terpaksa membawa sembilan gelung paip naik ke puncak air terjun walaupun ketika hujan lebat.
Menurut beliau kerja-kerja tersebut bahaya sekiranya tidak berhati-hati boleh membawa padah memandangkan batu-batu agak licin sementara arus sungai deras.
Bagaimanapun beliau merakam ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan keselamatan mereka sehingga kerja tersebut selesai.
Anggota Jabatan Amal juga bertungkus lumus membersihkan kediaman penduduk, bangunan sekolah dan lain-lain premis yang ditenggelami selut tebal tanpa mengenal erti lelah.

Malah kehadiran mereka ke kampung-kampung yang terlibat dengan bencana kepala air itu dinanti-nanti penduduk tempatan.
Sementara itu Pemuda PAS Kedah merakamkan terima kasih kepada Jabatan Amal Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis yang turut membantu menjayakan operasi berkenaan.
Manakala NGO Amal Care, Komuniti Peduli Insan (KPI), Al-Azhar Care dan dermawan turut membantu dengan menyalur bantuan kewangan. – HARAKAHDAILY 26/8/2021











