
Oleh YUSMAN AWANG
KUANTAN: Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM15.2 juta kepada badan persatuan dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Pahang dalam tempoh antara 2018 hingga 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Seri Mohd Johari Hussain berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM6 juta telah disalurkan pada 2019.
“Selain RM6 juta yang telah disalurkan kepada badan persatuan dan NGO pada 2019, sejumlah RM8.73 juta pula telah disalurkan pada 2020,” ujarnya merujuk kepada laporan Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, hanya program dan aktiviti yang mempunyai impak positif dan memberi nilai tambah kepada sosioekonomi rakyat akan diberi keutamaan.
Persidangan DUN Pahang ke-14 itu yang bermula 23 Ogos lalu akan berlangsung sehingga 26 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 25/8/2021











