Munajat pugar roh perjuangan Muslimat Raub

- Advertisement -

RAUB: Memperjuangkan wujudnya di negara ini masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah sentiasa kekal menjadi matlamat PAS.

Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Alawiyah Kasdan berkata, PAS berusaha meraih kerajaan dan pemerintahan menerusi perjuangannya adalah untuk memastikan tertegaknya Islam yang berkuasa.

Jelas beliau, itulah peranan penting menyertai dan menyumbang peranan sebagai ahli PAS iaitu bagi memastikan kewajiban perjuangan tersebut ditunaikan, manakala meninggalkannya pula merupakan satu dosa.

Taujihat penuh semangat tersebut telah disampaikan beliau secara atas talian ‘Google Meet’ kepada 40 anggota Muslimat PAS pada Majlis Zikir Munajat Dewan Muslimat PAS Kawasan Raub, baru-baru ini.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Raub, Ustazah Shibrah Amer terus aktif memimpin penganjuran majlis pembangunan rohani dan menyuntik semangat serta kefahaman perjuangan ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia diadakan setiap hari, manakala kemuncaknya dilangsungkan Majlis Gelombang AKIFI Perdana secara bulanan yang diisi oleh pimpinan undangan menyampaikan taujihat dan memimpin munajat berjemaah.

Antara jemputan yang memenuhi pengisian bagi kalendar bulan Ogos ini adalah Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Kawasan Bentong, Ustazah Nor Hafizah Jaafar bagi program khusus untuk Muslimat PAS ini.

Ketua Muslimat PAS Raub, Habidah Saleh berharap, program ibadah ini semakin mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan ahli kawasan ini di mana penyertaannya dilihat semakin bertambah. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -
- Advertisement -