
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Adun Guar Sanji mencadangkan kerajaan negeri melantik penghulu yang tinggal di kawasan mereka bertugas supaya lebih mudah menyelami masalah yang dihadapi penduduk tempatan.
Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, apa yang berlaku sekarang kadang-kadang ada penghulu tidak tahu apa yang berlaku di kawasan mereka bertugas kerana bukan tinggal di kawasan berkenaan.
“Ini menyebabkan timbul masalah kerana pegawai dilantik tidak dapat menyelami masalah yang dihadapi penduduk,” katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis hari ini.
Menurut beliau setiap pemimpin perlu berada dalam radar yang betul terutamanya ketika mendepani pandemik Covid-19 sekarang.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.
Selain itu Adun Guar Sanji turut merakam ucapan penghargaan kepada bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap dekat dengan rakyat sehingga dikenali dengan panggilan ‘Abah’.
Ridzuan juga mengingatkan kerajaan tidak melakukan pembaziran dengan melaksanakan projek yang boleh mendatangkan kerugian kepada penduduk.
Kata beliau pada bulan Mei lepas petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mengalami kerugian selepas benih padi yang ditabur musnah disebabkan petak sawah ditakungi air akibat kegagalan sistem saliran air di Sungai Bakong.
“Air menenggelamkan petak sawah sehingga menjejaskan penanaman padi di Kampung Sena, Kampung Sungai Bakong, Alor Banat, Kampung Teluk dan Kampung Seri Gelam.
“Kejadian ini berlaku akibat projek pembinaan ampang rendah di Denai Larian Sungai Perlis, Pengkalan Asam menyebabkan aliran sungai tidak dapat berjalan lancar apabila hujan lebat,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau masalah tersebut selesai dengan pembukaan pintasan air di projek pembinaan ampang rendah di Denai Larian Sungai Perlis, Pengkalan Asam. – HARAKAHDAILY 25/8/2021











