Kelantan kesan ‘hotspot’ lokasi potensi berlaku banjir

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Meteorologi bagi mengesan sekiranya terdapat ‘hotspot’ yang berpotensi berlaku banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, usaha itu sebagai langkah pencegahan selain mengadakan persediaan mengatasi banjir Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia dengan perancangan dan persediaan mengatasi banjir Monsun Timur Laut bagi tempoh 2021/2022.

- Advertisement -

“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan diadakan sebelum musim tengkujuh bermula.

“Pihak JPS juga mengambil langkah siap siaga sebelum banjir. Antara perancangan dan persediaan yang diambil termasuk dari segi kenderaan dan peralatan ketika banjir,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Amran Arifin (BN-Paloh).

Kemudahan logistik yang dimiliki JPS Kelantan termasuk kenderaan pacuan empat roda 44, lori (9), jentera berat (2), bot (muat 3-10 orang) 13, pam bergerak (2) dan life jacket (53).

Selain itu, persediaan non struktur seperti pengurusan data dan pemantauan.

Mumtaz juga berkata, JPS Kelantan mempunyai Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB), stesen telemetri, stesen PRAB Fasa 1, Ramalan Dan Amaran Awal Banjir.

JPS juga melakukan persediaan awal dengan melaksanakan beberapa projek mencegah banjir seperti projek membaik pulih runtuhan tebing di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1.

Selain itu kerja-kerja pengorekan dan pembersihan sungai dan anak sungai, menaik taraf sistem saliran terusan Semerak dan Sungai Kemasin serta menaik taraf rangkaian dan jajaran anak Sungai Semerak di Pasir Puteh.

“Peranan JPS untuk mengatasi banjir dengan melaksanakan projek mengurangkan risiko banjir dan projek tebatan banjir, pemantauan aras air sungai dan hujan serta ramalan dan amaran awal banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -