Iklim politik tidak menentu boleh beri kesan negatif

- Advertisement -

KANGAR: Kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan rakyat amat penting kerana ia merupakan prasyarat utama untuk membolehkan kerajaan meneruskan agenda pembangunan dan pentadbiran negeri.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah setiap pemimpin perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi menjamin dan memastikan wujudnya suasana politik yang tenang serta stabil terutamanya di Perlis.

“Mereka juga perlu memainkan peranan dengan bertanggungjawab dan amanah serta menunjukkan contoh teladan yang baik dari segi sikap, tingkah laku, percakapan dan perbuatan agar menjadi ikutan kepada rakyat.

- Advertisement -

“Mainkan peranan sebagai mata dan telinga rakyat supaya setiap isu yang didepani rakyat diberi penyelesaian terbaik selain menjadi ejen pembangunan yang berkesan,” titah baginda pada perasmian persidangan penggal keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis ke-14 di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah walaupun wabak Covid-19 melebihi setahun, ia masih belum menunjukkan tanda-tanda ke arah pemulihan sepenuhnya.

“Ini disulami pula dengan iklim politik negara yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini menjadikan kombinasi kedua-dua situasi ini memberi kesan negatif langsung kepada agenda pembangunan negara.

“Kerana itu, prestasi pembangunan negara secara am terjejas dengan serius sekaligus menyebabkan pelabur tidak berminat untuk melabur,” titah baginda.

Tegas baginda jika situasi begini berterusan, ia bakal merencatkan agenda pembangunan negara, malah tidak mustahil boleh menarik pembangunan negara berundur ke belakang.

Walau bagaimanapun, baginda merasa agak lega kerana iklim politik di Perlis tenang dan stabil.

Baginda turut berharap Adun di negeri itu sentiasa berfikiran rasional dan saling bekerjasama dalam mengekalkan kestabilan dengan meletak kepentingan rakyat di hadapan mengatasi kepentingan politik peribadi.

“Beta yakin dengan perancangan teliti kerajaan negeri, didorong pula oleh suasana politik yang stabil, Perlis akan menjadi destinasi menarik kepada pelabur-pelabur dan akan terus bergerak maju,” titah banginda. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -