
Oleh SARINA ISMAIL
YAN: Peruntukan RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai bantuan segera untuk membantu Kedah ibarat satu rahmat dari bencana yang menimpa penduduk Yan dan Merbok.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, jumlah yang dianggarkan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor kepada Kerajaan Persekutuan tepat dan mampu membaik pulih infrastruktur untuk tempoh terdekat ini.
“Saya sangat bersetuju dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam dan ia ibarat rahmat kepada Yan dan juga Merbok serta penduduk yang terkesan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang menjadikan Kedah lawatan kerjanya yang pertama.
Sungguhpun begitu, beliau mengharapkan peruntukan itu dapat disegerakan agar kesan-kesan serta kerosakan akibat bencana kepala air Gunung Jerai ini dapat dibaiki serta dipulihkan.
Semalam, Perdana Menteri sempena lawatan kerjanya ke Kedah, khusus meninjau perkembangan bencana di Yan dan Merbok mengumumkan peruntukan sebanyak RM75 juta untuk membantu membaik pulih infrastruktur di dua daerah berkenaan.
Sebanyak RM50 juta daripadanya dikhususkan untuk kerja-kerja di bawah Kementerian Sumber Asli dan Air (KASA) di mana melibatkan RM48 juta untuk saliran sementara RM2 juta kerja-kerja menaiktaraf intake Loji Rawatan Air (LRA) di Gurun dan Tupah.
Justeru itu Sabri berharap tiada terdapat birokrasi khususnya untuk membantu membaik pulih kerosakan rumah atau kehilangan harta benda mangsa berikutan kebanyakan penduduk terjejas tinggal di tanah rezab kerajaan.
“Walaupun sebahagian besar terutama di Gurun, penempatan penduduk di tanah rezab kerajaan, saya mengharapkan bantuan itu akan diperolehi tanpa terdapat apa-apa birokrasi memandangkan isu ini melibatkan bencana,” ujar beliau berhubung peruntukan RM3 juta di bawah Kementerian Luar Bandar untuk membaiki rumah-rumah penduduk yang terjejas.

Selain itu tambahnya lagi, pertimbangan juga perlu diambil kira mengenai kerosakan rumah penduduk namun kebanyakannya kehilangan harta benda dan peralatan rumah untuk kegunaan harian.
Pengumuman semalam juga tidak menyampingkan pemulihan dibeberapa peringkat sama ada melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor pelancongan, infrastruktur bekalan air masyarakat, membaik pulih kerosakan kawasan pertanian dan lain-lain dengan anggaran peruntukan sebanyak RM25 juta.
Setiap rumah mangsa kejadian juga akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500 dan RM5,000 kepada keluarga mangsa kematian daripada Agensi Bantuan Bencana (NADMA).
Yan antara kawasan paling terkesan dengan tragedi kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos lalu yang turut meragut enam nyawa.
Kejadian arus deras dari gunung berkenaan telah mengakibatkan ratusan rumah di persisiran sungai dilanda banjir lumpur selain turut memusnahkan chalet di kawasan rekreasi, antaranya, Salak Denai, Alang Kenari dan Titi Hayun.
Banjir yang meninggalkan kesan lumpur sehingga dua kaki itu juga melibatkan sekolah, premis perniagaan, pejabat dan lain-lain di persekitaran. – HARAKAHDAILY 24/8/2021











