Muslimat perlu berkemahiran dan punyai kekuatan

- Advertisement -

Oleh UMMU AL-FATEH

KEPALA BATAS: Seluruh Muslimat PAS diseru berusaha menambahkan amalan yang mendatangkan kemahiran dan kekuatan pada diri sendiri.

Menurut Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Norazlin Md Samsudin, antara kaedah yang disarankan adalah melalui niat ikhlas dan mengabaikan sifat malas.

- Advertisement -

“Nabi Muhammad SAW adalah contoh peribadi unggul yang bersifat gagah, kuat dan berani. Begitu juga keadaan para sahabat ketika mereka berdepan dengan musuh.

“Namun, sebaliknya sesama Muslim mereka bersikap penuh tawaduk, katanya ketika menyampaikan taujihat dalam Program Gelombang AKIFI DMPM bersama Muslimat PAS Pulau Pinang pada Khamis.

Tambah Norazlin, terdapat enam unsur kekuatan yang perlu dimiliki oleh para Muslimat.

Antaranya ialah kekuatan akidah, kekuatan akhlak, kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi, kekuatan kesatuan dan kekuatan jihad.

Beliau dalam masa sama turut menyeru Muslimat membina kekuatan diri dan jemaah pada semua peringkat.

Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa hanya dengan kekuatan Muslimat yang unggul dapat menggerunkan musuh serta menyerlah ‘keizzahan’ Islam agama yang memimpin dengan kebijaksanaan dan kesejahteraan.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idris turut mengingatkan Muslimat supaya kekal bersabar dengan segala ujian yang Allah kurniakan.

Beliau juga berpesan supaya bersama bergantung harap hanya kepada Allah SWT.

“Dalam keadaan situasi sekarang ini, Muslimat hendaklah kreatif memanfaatkan peluang dakwah dan berprogram melalui online.

“Sertailah program-program yang dianjurkan oleh jemaah untuk membina kekuatan Jentera 12K Ansarullah,” ujarnya.

Turut hadir majlis sama, AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia dan wakil-wakil AJK Wanita Umno Pulau Pinang dengan tujuan bermunajat untuk masa depan Malaysia yang sejahtera bersama kepimpinan Melayu Islam, serta agar diangkat wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -