Muslimat Muar cerap maklumat melalui edaran Bakul Prihatin

- Advertisement -

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR: Aktivis Skuad Prihatin Negara dapat mengenal pasti masyarakat yang terpinggir daripada menerima bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui aktiviti pengedaran Bakul Prihatin.

Demikian dinyatakan aktivis Skuad Prihatin Muar, Suraya Samari kepada media semasa program edaran Bakul Prihatin sekitar Muar, semalam.

- Advertisement -

Menurut Suraya, pihaknya tidak mendapat maklumat yang tepat berhubung keluarga yang memerlukan bantuan dan terpinggir.

Hal itu katanya kerana pihaknya telah mendapati bahawa bukan hanya golongan B40 sahaja yang terkesan akibat pandemik Covid-19, bahkan pihaknya telah mendapati bahawa golongan M40 juga turut terkesan.

Namun, disebabkan rasa malu, golongan M40 yang terpinggir dan memerlukan bantuan terlepas dari menerima bantuan dari kerajaan.

“Sumbangan Bakul Prihatin Negara ini sudah berjalan lama sejak dilancarkan pada bulan Julai yang lalu.

“Sumbangan di bawah kelolaan saya sebelum ini sudah diedarkan sebanyak 46 set.

“Saya juga turut serta dalam edaran Bakul Prihatin Negara ini bersama program pimpinan Perikatan Nasional (PN) sama ada daripada PAS Muar atau PPBM, serta terlibat juga edaran bersama Ahli Majlis Zon 8,” kata Suraya yang juga merupakan Ketua Lajnah IT Muslimat PAS Muar.

Sebanyak 35 Bakul Prihatin Negara telah diedarkan kepada keluarga yang terkesan pandemik Covid 19 di sini, kelmarin.

Menurutnya, sasaran edaran sumbangan kali ini adalah di sekitar kawasan Jalan Sri Tanjong dan Jalan Dato’ Haji Kosai.

Sumbangan Bakul Prihatin Negara daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini telah diedarkan oleh sukarelawan Skuad Prihatin Negara Daerah Muar, dengan dibantu oleh beberapa Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Muar. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -