Keluarga Malaysia: Negara mampu bangkit semula

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyuarakan keyakinan terhadap ucapan sulung Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob adalah satu langkah permulaan yang agresif serta drastik untuk membina semula negara dalam konteks kebersamaan.

Menurutnya, ucapan tersebut mempunyai hala tuju jelas serta penting kepada moratorium politik untuk negara kembali kepada tugas utama iaitu menangani Covid-19.

- Advertisement -

“Tindakan ini dilakukan kerana sebelum ini kita telah mengalami perpecahan dan pertelagahan yang lama antara satu sama lain dalam aspek politik dan sosial sehingga memberi kesan yang berbentuk rantaian kepada ekonomi dan kemajuan negara,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Mohammad Tawfik berkata, Ismail Sabri bukan sahaja memahami persekitaran politik dengan menganjurkan moratorium politik, tetapi beliau juga telah berjaya merasai denyut nadi rakyat bawahan yang perlu berhadapan dengan kehidupan yang terlalu sukar.

“Jika inilah ucapan pertama beliau kepada rakyat, saya yakin kita mampu untuk bangun dan bangkit semula seperti sediakala dalam konteks ekonomi dan penyatuan politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, menyentuh mengenai kerjasama strategik antara kerajaan dengan pemegang taruh katanya, langkah itu adalah tepat pada masanya kerana persekitaran negara memerlukan sokongan daripada seluruh segmen masyarakat.

“Sama ada perkhidmatan awam, swasta mahupun perseorangan yang mampu membantu mengembalikan momentum kemajuan negara.

“Kerajaan tidak boleh bersendirian ketika ini kerana pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada seluruh segmen masyarakat.

“Saya yakin sokongan dan bantuan pelbagai pemegang taruh, tanggungjawab membina semula negara akan dikongsi bersama sekaligus bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diilhamkan Perdana Menteri kesembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -