
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke sembilan.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dengan perlantikan itu diharapkan isu keabsahan Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak lagi berbangkit.
“Semua pihak diharapkan dapat menjalin permuafakatan yang jitu dengan penuh tanggungjawab,” ujar beliau pada kenyataannya, hari ini.
Beliau juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan dan kecekapan baginda menyelesaikan konflik politik negara dalam kadar tempoh yang singkat.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak perlu memberi tumpuan terhadap usaha memulih dan seterusnya mengeluarkan negara serta rakyat dari krisis pandemik Covid-19 yang membelenggu semua hampir dua tahun.
Dalam masa yang sama, beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat baktinya selama ini.
“Saya mewakili kerajaan negeri merakamkan jutaan penghargaan di atas khidmat cemerlang beliau (Tan Sri Muhyiddin Yaasin) selama 18 bulan menjadi Perdana Menteri.
“Beliau begitu komited terutama atas kerja keras dan komitmen
mengemudi kerajaan menangani pandemik Covid-19,” katanya lagi.
Sehubungan itu beliau mengharapkan pentadbiran baharu negara ini akan sentiasa beroleh petunjuk, rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT selain dihindari daripada musibah yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat.
Dato’ Sri Ismail Sabri mendapat perkenan KDYMM Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke sembilan apabila memperolehi majoriti undian melalui surat akuan (SD) dari 114 Ahli Parlimen.
Pada Isnin 16 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri berikutan hilang majoriti.
Insiden itu berlaku apabila 15 ahli parlimen Umno/Barisan Nasional (BN) mengishtiharkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Muhyiddin dan menarik diri dari menyertai Kerajaan Perikatan Nasional(PN). – HARAKAHDAILY 21/8/2021











