Taliban ikrar pertahankan hak wanita dan kebebasan media

- Advertisement -

KABUL: Taliban menjanjikan hak asasi wanita dan kebebasan media, selain pengampunan kepada pegawai kerajaan dalam sidang media pertama kumpulan itu selepas mengambil alih kerajaan Afghanistan.

- Advertisement -

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata hak wanita di negara itu akan dilindungi dalam kerangka Islam ketika sidang media yang penuh sesak dengan kehadiran wartawan antarabangsa.

Katanya, kumpulan itu juga mahu menjalin hubungan baik dengan negara lain serta tidak mahu mana-mana kumpulan menggunakan wilayah negara itu untuk menyerang negara lain.

“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, tiada siapa pun akan diapa-apakan. Kami tidak mahu sebarang musuh dalam atau luar negara,” katanya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid

Taliban yang mengumumkan pengampunan di seluruh negara itu dan menggesa wanita menyertai kerajaan, sekali gus mententeramkan keadaan selepas media melaporkan lapangan terbang antarabangsa diserbu penduduk yang mahu meninggalkan Kabul.

Perubahan yang dibawa oleh Taliban seperti yang digambarkan dalam sidang media itu mendapat maklum balas positif dari China, Rusia, Iran dan juga Turki. Malah China bersedia mewujudkan hubungan persahabatan dengan Taliban.

Sementara itu di Abu Dhabi, bekas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, menafikan dakwaan melarikan wang dalam jumlah yang sangat besar apabila meninggalkan negaranya.

Kehilangan Ashraf dikecam keras oleh bekas menterinya sendiri kerana meninggalkan negara sebaik sahaja pasukan Taliban memasuki Kabul, Ahad lalu.

“Saya tidak meninggalkan negara dengan wang berjuta-juta dan sebaliknya hanya membawa beberapa helai pakaian. Taktik pembunuhan karakter terhadap saya masih berlaku dengan kini menuduh melarikan wang. Tuduhan itu tidak berasas langsung,” katanya.

Kehilangan Ashraf dari Afghanistan tidak diketahui sehingga semalam dengan spekulasi bahawa antara negara destinasinya termasuk Tajikistan, Uzbekistan atau Oman.

Bagaimanapun, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kemudian mengesahkan bahawa Ashraf dan keluarganya kini berada di negara itu dengan perlindungan diberikan atas dasar kemanusiaan.

Duta Afghanistan ke Tajikistan, Mohammad Zahir Aghbar, mendakwa Ashraf mengkhianati negara dengan melarikan bersamanya wang sehingga hampir RM700 juta dari khazanah negara dan meminta Polis Antarabangsa (Interpol) segera menahannya.

Laporan Al Jazeera menyatakan bahawa dakwaan melarikan wang itu tersebar melalui media sosial di kalangan ahli jemaah menteri Ashraf sendiri dan juga mereka yang rapat dengannya termasuk Menteri Pertahanan, Bismillah Khan.

Bismillah Khan dalam ciapannya di Twitter berkata: “Mereka yang menjual tanah air patut dihukum dan ditahan dengan meletakkan tanda pagar #InterpolArrestGhani.”

UAE bersama Arab Saudi dan Pakistan adalah tiga negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban sebelum ini yang memerintah antara 1996 hingga 2001. – AL JAZEERA

- Advertisement -