
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Persatuan sepak takraw negeri-negeri menyambut baik kenyataan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof berhubung pelan dan strategi bagi memulihkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Presiden Gabungan Sepak takraw Kelantan, Zuraidin Abdullah berkata, persefahaman semua pihak yang dicapai dalam siri-siri perbincangan bersama PSM sebagai komitmen untuk merintis usaha mengembalikan kegemilangan sukan tersebut.
“Sudah pasti kami berterima kasih kepada kerajaan terutama di atas tindakan susulan yang dicapai di bawah pengendalian PJS.
“Semua perancangan berjaya sampai ke tahap ini dengan tolak ansur, rundingan dan pengorbanan semua pihak berkepentingan.
“Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican menasihatkan kita mencari penyelesaian dalam pentadbiran sepak takraw, kita bersama-sama membentuk pasukan petugas dengan diterajui PJS,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, proses itu perlu dikendalikan dengan teliti dan memerlukan masa kerana ia melibatkan isu-isu dasar dan menyentuh kepentingan semua persatuan takraw negeri-negeri dan pembangunan masa depan sukan itu.
Katanya, asas kepada persefahaman tersebut sebagai tekad semua pihak untuk melakukan pembaharuan demi kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw.
“Hasilnya beberapa perkembangan positif telah dicapai terutama terhadap semakan dan pindaan perlembagaan induk PSM yang akan dibentangkan dan diperakukan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kelak.
“Kami juga berpuas hati dengan pengendalian taklimat oleh PJS mengenai draf akhir pindaan perlembagaan pada satu sesi khas yang diadakan 11 Ogos lalu,” ujarnya.
Beliau juga berkata, persatuan sepak takraw negeri-negeri meletakkan harapan yang tinggi supaya proses EGM dapat diadakan segera dan dikendalikan secara teratur mengikut terma yang dipersetujui. – HARAKAHDAILY 19/8/2021











