
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Kelantan bersetuju menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan pembukaan 11 subsektor ekonomi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, dengan pembukaan semula sebanyak 11 subsektor semua pemilik premis diingatkan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“Kelantan bersetuju menerima pakai SOP MKN PPN Fasa 2 bagi membenarkan pembukaan 11 sub sektor ekonomi.
“Semua pemilik premis perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN,” katanya menerusi satu hantaran di muka bukunya hari ini.
Sebelum ini kerajaan Persekutuan mengumumkan semua subsektor perdagangan dan pengedaran di negeri-negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan beroperasi semula walaupun belum mencapai tahap imunisasi lengkap 50 peratus populasi dewasa.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, negeri terbabit ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah. – HARAKAHDAILY 19/8/2021











