
KUCHING: Sekarang bukan masa untuk berpolitik sebaliknya hendaklah menggunakan ruang bagi menggemblengkan tenaga menangani ancaman wabak Covid-19.
Ketua Menteri Sarawak Dato’ Pato’ Patinggi Abang Zohari Openg berkata, beliau amat bersetuju dengan saranan tersebut bagi mengelakkan daripada terus berpolitik.
Katanya apa yang berlaku di peringkat Persekutuan sekarang keadaan agak membimbangkan akibat perebutan kuasa dan pertelingkahan antara parti-parti politik.
“Sebagai sebahagian daripada negara yang berlandaskan konsep Persekutuan,
kita harus akur bahawa negeri ini ditadbir mengikut undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri.
“Ada kuasa di bawah Persekutuan dan ada juga kuasa di bawah negeri, di samping kuasa-kuasa di bawah Senarai Bersama,” katanya pada pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat negeri di sini kelmarin.
Menurutnya juga selepas 58 tahun, apa yang seharusnya berada pada bidang kuasa negeri hendaklah dikembalikan kepada negeri.
Kata beliau juga kerajaan Persekutuan menubuh Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sebagai platform baik yang melibatkan kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Setakat ini Sarawak sudah mencapai sedikit kemajuan untuk mengembalikan hak-haknya dan mendapat pulangan hasil yang lebih adil kepada negeri ini dan rakyatnya,” kata beliau.
Pertamanya, Sarawak mendapat pulangan yang lebih daripada hasil minyak dan gasnya dengan mengenakan cukai jualan ke atas produk minyak dan gas yang keluar dari bumi Sarawak.
Keduanya, melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil (CSA) yang dimanterai dengan Petronas, Sarawak mempunyai hak ekuiti dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran atau Production Sharing Contract (PSC) yang diaward oleh Petronas.
Ketiganya, Sarawak mempunyai hak untuk mengawardkan konsesi penerokaan bagi medan-medan minyak di daratan seperti di Miri dan Marudi berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958. – HARAKAHDAILY 18/8/2021











