
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Nikmat kemerdekaan yang kita nikmati sekarang bukan perkara mudah. Pejuang dahulu terpaksa membayar dengan keringat dan air mata semata-mata bagi memerdekakan tanah air.
Perjuangan menghalau penjajah digerak oleh pahlawan Melayu, golongan ulama dan nasionalis sehingga ramai yang terkorban.
Itulah harga mahal yang terpaksa dibayar datuk nenek kita bagi membolehkan anak cucu hidup aman dan damai seperti dinikmati sekarang.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi tentunya tidak lengkap tanpa dijejaki pejuang yang mempertahankan tanah air daripada penjajah dan penggganas komunis.
Pengalaman itu turut dilalui Mejar Jeneral Dato’ Khlir Mohd Nor, 63, yang ditugaskan sebagai Ketua Terup Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) dalam operasi khas di Titi Kuala Kelawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada 23 Februari 1983.
Katanya memang mustahil untuk dilupakan dan segala yang berlaku masih segar dalam ingatannya sehingga ke hari ini.
“Pengalaman bertempur dengan komunis, berbalas tembakan bertalu-talu dan melihat rakan seperjuangan gugur di tangan komunis dalam operasi itu,” katanya ketika ditemui di sini.
Peristiwa hitam itu bermula pada akhir 1981 apabila Khlir menerima maklumat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatakan terdapat empat pengganas komunis akan datang di kawasan ladang getah di Titi sebelum Tahun Baru Cina pada Februari 1982.
Beliau bagaimanapun telah menerima maklumat berkenaan perkara itu seawal enam bulan sebelum kedatangan komunis ke lokasi berkenaan.

Komunis kutip bantuan di ladang
Katanya, tujuan kehadiran pengganas komunis ke kawasan ladang berkenaan adalah untuk berjumpa dengan penyokongnya dan mengutip bantuan kewangan.
“Malah boleh dikatakan sebanyak 95 peratus penduduk di kawasan ladang getah itu menjadi tali barut komunis.
“Persiapan dan tinjauan dilakukan secara terperinci sekaligus membuat penilaian di kawasan ladang itu bagi membuat persiapan melawan kumpulan PGK tersebut.
“Kami menunggu jam 10 malam untuk masuk ke ladang berkenaan bagi memastikan langkah mereka tidak dijejaki dan perlu tamatkan misi sebelum jam 5 pagi memandangkan penoreh getah akan memulakan kerja mereka.
“Saya bersama 11 anggota terlatih PKPT telah berkumpul di Kem Rasah sehari sebelum operasi khas itu bermula selepas kami dimaklumkan berkenaan penegsahan kehadiran pengganas komunis,” ujarnya.
Pada jam 10 malam mereka bergerak ke kawasan yang sudah dikenal pasti dengan menaiki van yang disediakan pihak Cawangan Khas.
Selepas itu kata beliau pasukan meneruskan perjalanan ke tempat rehat pengganas komunis dengan hanya berjalan kaki.
Beliau berkata, pada jam 4 pagi mereka menghampiri kedudukan musuh dan dia sudah mengatur gerakan anggotanya di dua kedudukan sebagai penyekat (cut off) sebagaimana yang dirancang.
Manakala beliau bersama dua anggotanya yang membawa radio set telah merangkak menghampiri tempat tidur musuh, bagaimanapun dapat dikesan dan hampir ‘terjerat’ dengan satu suara datang dari arah belakang mereka.
Berbalas tembakan
Khlir berkata, sekitar jam 5 pagi, dia dan dua anggotanya mula berbalas tembakan dengan komunis selepas salah seorang daripada komunis mula rapat bagi menyiasat bunyi yang didengar itu.
“Semasa merangkak dalam gelap dan sunyi itu, saya dengar bunyi ‘prap’ tapak kaki. Saya pun bisikan sesuatu kepada rakan saya, mungkin komunis berkenaan mendengar suara saya, maka dia pun bersuara ‘sudah makan?.
“Namun saya tahu, itu adalah kod rahsia mereka, saya diamkan saja. Tidak menjawab. Selepas itu, kami merangkak lagi, tanpa disedari kami sebenarnya berada sangat hampir dengan khemah sangkut yang diduduki mereka.
“Bagaimanapun, kasut getah berwarna putih yang dipakai salah seorang daripada anggota saya menarik minat pengganas komunis untuk lebih rapat dan tembakan pertama dilepaskan oleh anggota tadi diikuti saya dan seorang lagi anggota yang turut bersama,” ujarnya.
Namun, pengganas komunis melarikan diri dari kawasan itu dan berbalas tembak pula dengan Kumpulan Penyekat (cut off group) di dua lokasi berhampiran.
“Selama hampir beberapa minit berbalas tembakan dengan komunis, kami berkumpul di satu tempat sementara menunggu hari cerah dan pada keesokan harinya operasi tidak diteruskan kerana mendapat maklumat pengganas komunis memasang jerangkap samar,” katanya.
Khlir berkata, selepas keadaan mula cerah, beliau mula membuat pemeriksaan dan mendapati dua orang pengganas komunis telah mati ditembak berdekatan dengannya, manakala dua lagi dapat melarikan diri.
Gugur seorang pejuang
Bagaimanapun, beliau amat terkilan setelah mendapati salah seorang anggotanya iaitu Lans Koperal Saimon Tarikat yang bertindak sebagai anggota penyekat gugur ditembak oleh pengganas komunis.
Katanya, peristiwa itu sukar untuk digambarkan apabila melihat jasad Lans Koperal Saimon kaku selepas ditembak oleh pengganas dalam operasi berkenaan.
“Selepas itu, saya membuat pemeriksaan ke atas tubuh badannya namun tidak ada kesan kecederaan, kecuali pada bahagian pipi dan dagunya sehingga menembusi bahagian kepala.
“Pada waktu itu, saya teringat kata-kata arwah sebelum ini yang pernah memberitahu ingin memakai baju Melayu berwarna putih selain mahu menghantar cincin kepada tunangnya dan itulah kata-kata terakhir arwah kepada saya,” katanya.
Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, pengalamannya selama 39 tahun 6 bulan dalam pasukan tentera banyak memberinya peringatan mengenai ketulusan pengorbanan dalam memastikan tanah air benar-benar bebas daripada ancaman musuh.
Khlir berkata, semangat setia kawan dan berpasukan amat penting dalam pergerakan pertempuran kerana ia merupakan kunci utama mereka untuk setiap gerak kerja yang dilakukan.
Walaupun berjaya menamatkan riwayat penjajah, namun mereka hilang seorang rakan pasukan yang sangat berdedikasi dalam melakukan tugas.
Kini hampir 40 tahun peristiwa itu berlaku, namun ia masih tetap segar dalam ingatannya.
Khlir dianugerah pelbagai pingat dengan jasanya kepada pasukan dan negara dan antaranya ialah Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera iaitu Panglima Setia Angkatan Tentera pada 24 September 2012.
Menamatkan perkhidmatan sebagai Assistant Ketua Staf Perisikan Markas Tentera Darat pada 2018 menutup sejarah yang dilalui bersama pasukannya. – HARAKAHDAILY 18/8/2021











