
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet pimpinan beliau yang mengemudi teraju negara dalam satu tempoh yang genting iaitu di era pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia amnya.
Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga mengucapkan terima kasih khusus buat jemaah menteri dan timbalan menteri daripada PAS yang telah berkhidmat dengan penuh integriti dan cemerlang.
“Hari ini kita menyaksikan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang berskala besar bagi mengekang pandemik dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mensasarkan capaian imuniti kelompok 80 peratus kepada rakyat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, ujar beliau inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut menjadi agenda utama untuk mengekalkan momentum secara berperingkat bagi mensejahterakan rakyat.
Menurutnya, walaupun pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, beliau terus melangkah menyusun segala gerak kerja bagi memastikan semua usaha berjalan dengan baik.

Justeru itu, ujar beliau DMPM sangat mengharapkan agar usaha yang dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini dapat diteruskan dan ditambah baik.
Ini, katanya demi kesejahteraan rakyat dan membawa Malaysia untuk bebas daripada pandemik Covid-19 serta memperbaiki tahap ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 17/8/2021











