Open Road: Individu jadi pertikaian bukan pengarah syarikat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Individu yang menjadi pertikaian pihak tertentu bukanlah pengarah syarikat mahupun pemegang syer Open Road, sebaliknya hanya bertindak selaku penasihat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Permodalan Kedah Berhad (PKB), Abdul Rahman Din, dalam kenyataan hari ini.

“Perjanjian usaha sama Projek Open Road di Langkawi itu termetrai antara PKB dan pihak berkenaan dan tidak melibatkan tandatangan individu terbabit,” jelas beliau.

- Advertisement -

Katanya, individu yang didakwa muflis bukanlah pengarah syarikat mahupun pemegang syer Open Road dan tandatangan perjanjian juga tidak melibatkannya.

Menurutnya lagi, Projek Open Road International Circuit And Integrated Resorts (ORIC) merupakan sebuah projek litar lumba antarabangsa yang dilaksana secara usaha sama antara PKB dan Open Road Asia Sdn. Bhd.

Tambahnya, tidak timbul isu penganugerahan projek secara terpilih atau istimewa memandangkan melalui perjanjian usaha sama tersebut, Open Road selaku pemaju bertanggungjawab penuh bagi menyediakan dana dan menanggung keseluruhan kos.

“PKB telah menjalankan proses ‘due diligence’ yang sewajarnya dan mendapati Open Road adalah syarikat yang berkemampuan, bukan syarikat yang muflis.

“Pengarah-pengarah syarikat bukanlah individu yang berstatus bankrap sebagaimana dinyatakan pihak tertentu,” ulas beliau lagi.

Kelmarin, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menganugerahkan kepada mana-mana pihak sejumlah RM1.3 bilion seperti yang didakwa oleh ahli PKR Sungai Siput untuk melaksanakan projek mega Litar Lumba Kereta di Langkawi sebaliknya ia merupakan projek swasta dengan kerjasama PKB.

Sanusi juga berkata, tuduhan beliau kononnya terdapat ‘salah guna kuasa dalam penganugerahan projek kerajaan negeri kepada syarikat itu’ dianggap tidak cermat dan hanyalah satu propaganda politik.

Justeru itu, Abdul Rahman menasihati semua pihak agar terlebih dahulu mendapatkan kepastian berkenaan sesuatu isu sebelum menyebarkannya kepada pihak lain.

“PKB sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan kepada pihak media mahupun orang awam berkenaan projek-projek PKB,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/8/2021

- Advertisement -