Jenazah ayahanda Mas Ermieyati selamat dikebumikan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

MASJID TANAH: Jenazah Almarhum Samsudin Md Ali, 72, ayahanda kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wira Mas Ermieyati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Lebar, di sini, petang tadi.

Almarhum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di kediaman Mas Ermieyati di sebuah taman perumahan di Ayer Keroh, Melaka.

Berita sedih itu dikongsikan sendiri Timbalan Menteri itu dalam laman Facebook rasmi beliau pagi tadi.

Sementara itu, suami kepada Mas Ermieyati, Mohd Helmy Abd Talib berkata, pada pagi tadi ahli keluarganya melakukan rutin memandikan Almarhum yang tidak mampu mandi sendiri setelah lama terlantar menghidap penyakit alzheimer.

“Masa tu masih okey lagi. Selepas mandi tu tiba-tiba arwah nampak lemah, senyap. Tak menunjukkan tindak balas.

“Kita panggil ambulans dan pasukan perubatan ke rumah untuk buat pemeriksaan dan mereka sahkan arwah sudah tiada. Sekitar pukul 9.00 pagi tadi,” ujar beliau ketika dihubungi HarakahDaily.

Menurut Helmy, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman Almarhum di Kampung Paya Lebar, di sini, sekitar jam 1.00 tengah hari tadi untuk dikebumikan.

Terdahulu jenazah dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan di Masjid Kampung Ramuan China Besar oleh ahli keluarga dan sahabat handai terdekat dengan dipantau pasukan keselamatan bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Turut hadir menziarahi jenazah Almarhum di kediaman Mas Ermieyati ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali dan pemimpin-pemimpin politik negeri. – HARAKAHDAILY 14/8/2021

- Advertisement -