Kerajaan cadang RUU Anti Lompat Parti, had tempoh PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk membentangkan Rang Undang Undang Anti-Lompat Parti di Parlimen, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Bagaimanapun, cadangan tersebut hanya akan dibentangkan sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga.

Selain itu, kerajaan turut bercadang membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan melalui Perutusan Khas Perdana Menteri, Bersama Memulihkan Negara yang bersiaran secara langsung di media arus perdana, hari ini.

Hadir sama pada perutusan khas itu Menteri Kanan termasuk Dato’ Seri Hishamuddin Hussien, Dato’ Seri Azmin Ali, Dato’ Dr Radzi Jidin dan Menteri Sumber Asli dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, tambah beliau, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan itu dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Kata beliau, pihaknya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan itu dan bersedia untuk mendengar pandangan mereka mengenainya. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -